Mahkamah Syariah mesti bebas laksana bidang kuasanya
KUALA LUMPUR: Mahkamah Syariah mesti diberi kebebasan melaksanakan bidang
kuasanya dalam membuat keputusan berhubung isu berkaitan Islam tanpa campur
tangan Mahkamah Sivil, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri
Mohamed Nazri Aziz
Sehubungan itu, beliau menegaskan, soal memansuhkan Artikel 121 (1A)
Perlembagaan Persekutuan semata-mata bagi memberi laluan kepada Mahkamah
Sivil mengkaji keputusan Mahkamah Syariah berhubung kes berkaitan agama,
tidak harus timbul.
“Kalau nak sahkan seseorang individu itu Islam atau tidak kerana dikatakan
sudah memeluk Islam tanpa pengetahuan keluarganya, saya setuju Mahkamah
Sivil diberi kuasa membuat keputusan.
Hak Mahkamah Syariah mesti dikekalkan seperti sedia ada,” katanya ketika
dihubungi Berita Harian, di sini semalam.
Beliau diminta mengulas laporan akhbar berhubung hasil perbincangan Meja
Bulat Parlimen mengenai kuasa kehakiman dalam hal berkaitan agama di ibu
negara kelmarin.
Pertemuan yang dihadiri beberapa Ahli Parlimen, peguam dan wakil kanan
persatuan bukan Islam itu diadakan berikutan kontroversi sama ada bekas
pendaki Everest, Allahyarham Mohammad Abdullah @ M Moorthy, sahih memeluk
Islam atau sebaliknya.
Antara lain, peserta perbincangan itu mencadangkan supaya Mahkamah Sivil
diberi hak mengkaji keputusan kes Mahkamah Syariah.
Perbincangan itu memberi tumpuan kepada Artikel 121 (1A) Perlembagaan
Persekutuan yang menyebut, mahkamah tinggi tidak boleh mempunyai bidang
kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Selain itu, ia turut membincangkan mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur menolak permohonan isteri Mohammad, S Kaliammal daripada mengambil
jenazahnya untuk disemadikan mengikut adat agama Hindu kerana ia tidak
mempunyai bidang kuasa bagi mendengar permohonan itu.
Jenazah Mohammad dikebumikan pada 28 Disember lalu di Tanah Perkuburan Islam
Taman Ibukota selepas Mahkamah Tinggi memutuskan tidak mempunyai bidang
kuasa menyemak dan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berhubung
status agamanya.
Mohamed Nazri berkata, seperti dilaporkan sebelum ini, beliau hanya
bersetuju jika mahkamah sivil terutama mahkamah tinggi diberi kuasa
memutuskan soal kesahihan status Islam seorang mualaf seperti berlaku pada
Allahyarham Mohammad.
Bagaimanapun, katanya, adalah tidak munasabah jika mahkamah sivil diberi
kebebasan mengkaji semula semua keputusan Mahkamah Syariah.
“Kalau kita jadikan sedemikian rupa, hilanglah fungsi Mahkamah Syariah
sebagai pihak yang membuat keputusan dalam pertikaian berkaitan agama dan
lama-kelamaan orang akan lihat ia tidak relevan kerana keputusannya terdedah
kepada penelitian pihak lain (mahkamah sivil).
“Malah, tiada gunanya kita ada Mahkamah Syariah kalau semua keputusan
diserahkan kepada mahkamah sivil. Kalau keputusannya sama, tak mengapalah
tapi bagaimana jika bercanggah sedangkan ia membabitkan agama,” katanya.