|
Penambahbaikan Mahkamah Syariah belum capai
matlamat
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim
KENYATAAN Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri
Abu Talib Othman mengenai layanan dan keistimewaan berbeza di antara hakim
Mahkamah Sivil dan hakim Mahkamah Syariah baru-baru ini, perlu diambil tindakan
sewajarnya.
Bukan saja membabitkan imbuhan hakim dan layanan ke atas mereka, tetapi juga
keseluruhan penambahbaikan ke atas Mahkamah Syariah dan kemudahan disediakan.
Mengikut sejarah, penjajah berjaya menghilangkan kehebatan perundangan syariah
dengan melakukan pelbagai kaedah, antaranya menubuhkan bangunan indah untuk
Mahkamah Sivil, menghiasnya dengan pelbagai kelengkapan dan hakim mengenakan
jubah hitam seragam hingga menimbulkan rasa gah, takut dan hormat di mata
masyarakat.
Sedangkan pada masa yang sama, Mahkamah Syariah dianaktirikan. Kadi tidak
mendapat gaji bersesuaian, bangunan buruk tidak diindahkan dan kemudahan
infrastruktur minimum, menyebabkan masyarakat tidak takut, tidak gah serta tidak
menghormati sistem perundangan itu sendiri.
Ditambah pula, Kadi (ketika itu istilah Hakim Syarie belum diguna pakai)
mengenakan pakaian ulama dan ia tidak seragam, sehingga masyarakat melihat
Mahkamah Syariah sebagai tempat untuk mendapat nasihat agama, bukan penghakiman
yang berkuat kuasa.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila keputusan Mahkamah Syariah tidak dihormati
dan tiada kesan undang-undang apabila tidak dipatuhi.
Kita bersyukur dengan perubahan yang berlaku dan sedikit demi sedikit, kedudukan
sistem perundangan syariah diangkat taraf serta diperbaiki.
Selepas pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan dan penubuhan Jabatan Kehakiman
Syariah Malaysia (JKSM), banyak sinar baru menyinari sistem perundangan syariah
di Malaysia.
Namun, keadaan belum mencapai tahap yang diinginkan dan perbezaan yang ada kini
dibangkitkan melalui ucapan Abu Talib itu.
Masyarakat kita sebenarnya belum melihat perundangan Mahkamah Syariah dan
penghakimannya seperti mereka melihat Mahkamah Sivil menyebabkan banyak pihak
sewenang-wenangnya membuat kritikan terbuka terhadap Mahkamah Syariah dan sistem
perundangannya.
Laporan akhbar 6 September tahun lalu memaparkan pelbagai pihak mengkritik
Mahkamah Syariah kerana lambat membicarakan kes hingga menyebabkan wanita
terpaksa turun naik mahkamah.
Pihak yang berbicara itu bukan mereka yang mempunyai kuasa, sebaliknya orang
awam yang tidak mengetahui tatacara dan apa yang berlaku dalam perbicaraan. Ia
sebenarnya menzahirkan perasaan tidak hormat kepada Mahkamah Syariah.
Kes di Mahkamah Sivil juga banyak tertangguh hingga bertahun, tetapi orang awam
seolah-olah melihatnya sebagai kewajaran kerana ia Mahkamah Sivil dan tiada
siapa berani mempertikainya.
Lokasi dan bangunan Mahkamah Syariah juga perlu berada di tempat yang sesuai
bukan lagi di lokasi sukar dijumpai dengan papan tanda kecil, dikelilingi kedai
makanan, di belakang sekolah, tiada tempat letak kereta dan tiada kafeteria.
Pihak berwajib perlu berusaha mempertingkatkan perkara itu kerana ia memberi
kesan yang besar di hati masyarakat mengenai penghormatan dan rasa gah terhadap
mahkamah itu sendiri.
Kenapa tidak pihak berwajib melaksanakan konsep kompleks mahkamah yang di
dalamnya dua sistem undang-undang yang dianggap setaraf itu (seperti yang ada di
Kompleks Mahkamah Tinggi Shah Alam sekarang ini).
Sebelah kanan adalah Mahkamah Sivil dan sebelah kiri adalah Mahkamah Syariah,
atau satu bangunan yang di dalamnya ada Mahkamah Majistret dan Mahkamah Rendah
Syariah.
Bangunan, kemudahan infrastruktur yang sama, tempat letak kereta besar sudah
tentu memberi kesan besar di hati masyarakat yang melihat kedua-dua sistem
sebagai medan mencari keadilan.
Dengan pelaksanaan sebegini, hakim juga boleh berinteraksi dan bertukar fikiran
bersama teman sejawatnya dari dua sistem, selain peguam yang beramal dalam
kedua-dua sistem akan lebih senang bertemu, berbincang dan sekali gus menjayakan
kes diwakili dengan cepat kerana berada dalam kompleks mahkamah yang sama.
Kerajaan juga perlu menaikkan skim gaji hakim Mahkamah Syariah supaya setaraf
dengan hakim Mahkamah Sivil. Perbezaan skim gaji menyebabkan perbezaan
keseluruhan keistimewaan seperti keistimewaan mendapat kereta dan pemandu, elaun
rumah dan elaun keraian.
Kerajaan juga perlu memberi peluang Hakim Mahkamah Syariah untuk melanjutkan
pelajaran ke peringkat ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD).
# Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar
boleh dikirim ke admin@pgsm.org.my
|