|
Peguam Syarie
Menulis: Saudara baru berhak kebahagiaan
Oleh Zainul Rijal
Abu Bakar
Akta perkahwinan,
perceraian bukan Islam perlu dipinda elak masalah
URUSAN perkahwinan dan perceraian bukan Islam di negara ini dikawal selia oleh
Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.
Dari
segi sejarah penggubalannya, akta ini diceduk daripada undang-undang Inggeris
berasaskan agama Kristian.
Selepas diluluskan di negara ini, undang-undang itu mendapat bantahan daripada
beberapa agama lain menyebabkan ia hanya diwartakan selepas beberapa tahun
diluluskan.
Akta itu diluluskan oleh Parlimen bertujuan menyediakan perkahwinan monogami,
tidak membenarkan berkahwin lebih daripada satu, urusan perisytiharan dan
pendaftaran perkahwinan, undang-undang berkaitan perceraian dan perkara yang
bersangkutan dengannya.
Akta itu terpakai bagi rakyat Malaysia dan bermastautin tetapi tinggal di luar
Malaysia. Akta itu tidak terpakai kepada orang Islam atau sesiapa yang berkahwin
menurut undang-undang Islam.
Perkahwinan membabitkan salah seorang daripada pasangan bergama Islam juga tidak
boleh dilakukan atau didaftarkan mengikut akta itu.
Mengikut Seksyen 51, akta itu memperuntukkan bahawa satu pihak kepada sesuatu
perkahwinan itu sudah memeluk Islam, pihak satu lagi yang tidak memeluk Islam
boleh memfailkan petisyen untuk perceraian dengan syarat petisyen tidak boleh
difailkan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh memeluk Islam.
Apabila membubarkan perkahwinan, mahkamah boleh mengeluarkan perintah kepada
isteri atau suami untuk kepentingan anak kepada perkahwinan itu, jika ada, atau
meletakkan syarat apabila membubarkan perkahwinan itu. Mahkamah yang dimaksudkan
adalah mahkamah sivil.
Jika diperhatikan dengan teliti, Seksyen 51 itu hanya memberi hak kepada pihak
tidak memeluk Islam memfailkan petisyen pembubaran perkahwinannya di mahkamah,
manakala pihak yang memeluk Islam tidak mempunyai hak membubarkan perkahwinan.
Jika pihak tidak memeluk Islam enggan memfailkan petisyen atas alasan tertentu,
tidak ada sebarang penawar dan jalan keluar bagi pihak yang memeluk Islam.
Undang-Undang Keluarga Islam adalah undang-undang yang memperuntukkan mengenai
perkahwinan, perceraian, nafkah, penjagaan dan perkara lain berkaitan kehidupan
berkeluarga orang Islam.
Mengikut Seksyen 46(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003
menyatakan, jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk
Islam, maka perbuatan itu tidak boleh dengan sendirinya berkuat kuasa
membubarkan perkahwinan itu melainkan disahkan oleh mahkamah. Seksyen 1
mentakrifkan mahkamah yang dimaksudkan dalam Seksyen 46 ialah mahkamah syariah.
Seolah-olah ada percanggahan antara dua undang-undang itu.
Walaupun pihak memeluk Islam boleh memohon membubarkan perkahwinannya di
mahkamah syariah melalui Seksyen 46(2) enakmen berkenaan, perintah mahkamah
syariah tidak mengikat pihak yang tidak memeluk Islam.
Acap kali perintah mahkamah syariah tidak dihiraukan dan diperlekeh pihak yang
tidak memeluk Islam kerana mereka berpendirian perkahwinan mereka didaftarkan
melalui kaedah sivil dan mahkamah sivil yang berhak membubarkan perkahwinan itu
dan bukan mahkamah syariah.
Mereka enggan tertakluk kepada perintah mahkamah syariah sedangkan pihak yang
memeluk Islam tidak mempunyai penawar melalui Seksyen 51 Akta Membaharui
Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 itu. Ini tidak adil bagi mualaf
yang memeluk Islam.
Sudah lama peruntukan ini diperkatakan tetapi tidak ada pindaan dibuat berhubung
perkara itu. Seksyen 51 ini mesti dipinda bagi membolehkan mana-mana pihak sama
ada yang memeluk Islam atau tidak memeluk Islam diberikan hak yang sama
membubarkan perkahwinan sivil mereka. Dengan cara itu keadilan boleh diberikan
kepada pihak yang memeluk Islam.
Seksyen 51 seolah-olah tidak mengiktiraf hak atau kebebasan individu untuk
memilih agama sendiri kerana jika mereka memeluk Islam, sebahagian hak mereka
dinafikan walaupun hak dan kebebasan memilih agama dijamin oleh Perlembagaan
Persekutuan.
Keadaan ini sebenarnya banyak kali berlaku di Malaysia dan yang menjadi mangsa
ialah pihak yang memeluk Islam, sama ada suami atau isteri.
Kita mengharapkan kerajaan dapat segera meminda seksyen itu bagi memberi
imbangan keadilan bagi pihak yang memeluk Islam.
Seksyen itu seolah-olah menganggap memeluk Islam suatu kesalahan dan kerana itu
mereka menerima penalti dan hak untuk perceraian ditarik daripada mereka.
Berdasarkan pelaksanaan sekarang, pihak memeluk Islam dinafikan haknya untuk
hidup mengikut kepercayaan agamanya kerana beliau masih dianggap suami isteri di
sisi undang-undang jika pihak tidak memeluk Islam tidak memfailkan petisyen
pembubaran perkahwinan. Sedangkan jelas mengikut hukum syarak, perkahwinan itu
terbubar dalam tempoh tertentu jika pihak yang satu lagi tidak ikut memeluk
Islam.
Oleh itu, pihak memeluk Islam hanya boleh menunggu sehingga pihak tidak memeluk
Islam memfailkan petisyen perceraian.
Apa akan berlaku jika pihak tidak memeluk Islam langsung tidak memfailkan
petisyen sehingga kematian pihak memeluk Islam.
Bagaimana jika yang memeluk Islam itu adalah isteri, dia akan tetap tertakluk
kepada suaminya yang bukan Islam kerana mengikut undang-undang mereka adalah
pasangan sah dan perkahwinan mereka masih berkuatkuasa.
Sudah tentu isteri yang memeluk Islam akan teraniaya kerana tidak ada jalan
keluar untuknya melaksanakan ajaran agama dipilihnya.
Jika suami yang memeluk Islam dan berkahwin dengan wanita lain, kemudian si
suami meninggal dunia, tentu pihak yang tidak memeluk Islam berhak ke atas harta
pusaka yang ditinggalkan.
Sudah tentu akan terjadi perebutan harta antara kedua mereka kerana
undang-undang gagal menyelesaikan masalah sebegini.
Walaupun begitu, pindaan kepada Seksyen 51 saja tidak akan menyelesaikan
beberapa masalah lain seperti hak jagaan, agama anak, harta sepencarian dan
urusan nafkah.
Perkara itu perlu diteliti bagi memberi keadilan kepada semua pihak dalam
mengamalkan agama. Selain undang-undang yang ada, jalan penyelesaian terbaik
adalah melalui perbincangan.
Dalam mengadakan perbincangan, hormat-menghormati dan percaya mempercayai antara
satu sama lain penting. Hak orang Islam untuk mengamalkan agama perlu dihormati
selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan mengamalkan
agama, apatah lagi agama yang diamalkan itu adalah agama rasmi Persekutuan.
·
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang
komentar boleh dikirim ke admin@pgsm.org.my
|